Selasa, 5 Mac 2013

Kisah Pemburu Yang Baik Hati


Pada zaman dahulu, terdapat seorang pelayan raja bernama Nasiruddin yang begitu gemar sekali berburu. Pada suatu hari ketika dia sedang berburu, Nasiruddin ternampak seekor anak rusa yang cantik sekali.

“Anak rusa yang cantik itu bolehlah aku berikan kepada anakku. Mereka tentu sayang kepada anak rusa itu dan menjaganya dengan baik,” kata Nasiruddin dalam hati.

Nasiruddin menangkap anak rusa itu dibawanya pulang meninggalkan hutan tempat ia berburu itu. Apabila ibu rusa sedar bahawa anaknya telah ditangkap orang, dia merasa amat terkejut sekali. Oleh kerana amat sedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa untuk mendapatkan anaknya kembali, ibu rusa itu mengekori Nasiruddin dari belakang.

Sementara itu, Nasiruddin yang asyik menunggang kudanya gembira memikirkan tentang anak yang baru ditangkapnya itu.

“Aku telah mendapat seekor anak rusa yang comel. Pasti anak-anakku sambut dengan gembira,” katanya dalam hati.

Tiba-tiba Nasiruddin sedar ada sesuatu yang mengekorinya, lalu dia menoleh ke belakang. Ibu rusa itu seolah-olah kelihatan sedih sekali. Ia seolah-olah berkata kepadanya, “Engkau telah menangkap anakku, hai pemburu. Hidup aku tidak ada ertinya lagi kalau kau tangkap anakku itu dari tanganku. Aku rela mati daripada hidup tanpa anak yang ku sayangi.”

Nasiruddin merasa kasihan melihat ibu rusa itu lalu melepaskan anak rusa dari pegangannya. Ibu rusa itu terus mendapatkan anaknya itu lalu menjilat-jilatnya, melompat-lompat kegirangan lalu lari semula ke dalam hutan. Sebelum menghilang, ibu rusa itu sempat menoleh ke belakang sebagai tanda mengucapkan terima kasih terhadap Nasiruddin.

Pada malam itu, Nasiruddin bermimpi bahawa Nabi Muhammad datang menemuinya.

“Hai Nasiruddin,” Nabi berkata. “Allah telah meletakkan namamu dalam senarai Raja dan engkau akan menjadi Raja,” Nabi memberitahunya.

“Jagalah kerajaanmu itu. Kerajaan ini juga menjadi satu ujian kepada engkau. Sebagaimana engkau memperlihatkan belas kasihanmu kepada ibu rusa maka engkau hendaklah juga berlaku ihsan dan baik terhadap sekalian manusia yang menjadi rakyatmu itu. Ingatlah Nasiruddin, jangan sekali engkau abaikan tanggungjawabmu terhadap rakyatmu,” kata Nabi lagi.

Mimpi Nasiruddin itu menjadi kenyataan.  Dia akhirnya menjadi Raja Ghazi, satu wilayah di Afghanistan sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima Kasih kerana memberi komen...:) Berkongsi buah fikiran itu dapat memberi inspirasi kepada orang lain tanpa kita sedari.. :D

Bila dah 40

Bila umur dah 40.. Sebenarnya kita sudah wajib memikirkan kematian kita setiap saat.. Apa2 sahaja boleh berlaku tanpa di jangka. Bila umur...