SALAH satu ibadah amaliah yang dilaksanakan pada sekitar Hari Raya Haji
ialah ibadah korban. Ibadah korban bermaksud menyembelih haiwan seperti
kambing atau lembu sesudah solat sunat Aidiladha sehingga hari tasyrik
iaitu hari ketiga sesudah 10 Zulhijah.
Ia merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam hingga Nabi Muhammad s.a.w.Baginda Rasulullah sendiri dalam sebuah hadis telah mengungkapkan, orang-orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini. Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:
‘‘Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?” ujar sahabat.
‘‘Itulah sunah daripada nenekmu Ibrahim,” jawab Rasulullah.
‘‘Apakah keuntungan korban itu untuk kita?” tanya sahabat lagi.
‘‘Tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah.
Menurut Syafii hukum korban adalah sunat muakad yang sangat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan terutama umat Islam yang berada di kampung halamannya sendiri, kerana ia amalan yang sangat dikasihi Allah pada hari nahar (Hari Raya).
Di
dalam al-Quran disebut tentang pengorbanan dua orang anak Adam. Anak
pertama memberi korban dengan tulus ikhlas atas dasar niat untuk
mematuhi perintah Allah s.w.t. dan mendekatkan diri kepadaNya. Sementara
anak yang lain juga berkorban tetapi tidak berdasarkan ketulusan hati
dan usaha sungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu
korban anak yang pertama diterima di sisi Allah manakala anak kedua
tidak diterima oleh Allah.
Allah
berfirman dalam surah Al- Maidah ayat 27 yang bermaksud: Dan bacakanlah
(wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam
(Haabil dan Qaabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka
berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri
kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Haabil),
dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qaabil). Berkata (Qaabil):
“Sesungguhnya aku akan membunuhmu.” (Haabil) menjawab: “Hanyasanya Allah
menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.”
Praktik
ibadah korban ini kemudiannya diteruskan oleh Nabi Ibrahim sebagaimana
firman Allah dalam surah As-Shaffat ayat 102.Maka takala anaknya itu
sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama
dengan-Nya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya
aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyebelihmu; maka fikirkan apa
pendapatmu? Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang
diperintah kepadamu; insya-Allah,ayah akan mendapati daku dari
orang-orang yang sabar.
Mengapa
Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih Ismail kemudian
membatalkan dan menebus dengan kibas? Ini bukan hanya ujian untuk
kedua-duanya, bukan juga hanya untuk membuktikan ketabahan keluarga
Ibrahim tetapi juga untuk menjelaskan kepada siapa saja bahawa tiada
sesuatu yang mahal untuk dikorbankan bila panggilan Ilahi telah datang.
Inilah bukti iman sejati. Akan tetapi harus diingat bahawa pembatalan
tersebut bukan kerana manusia terlalu mahal untuk berkorban atau
dikorbankan kerana Allah, tetapi ia dibatalkan demi kasih sayang Allah
kepada manusia.
Amalan
berkorban bertindak mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dan
mendekatkan hubungan antara manusia dengan Allah ini dikenali sebagai
amaliah yang bersifat vertikal. Sementara amaliah yang bersifat
horizontal pula, ibadah penyembelihan korban meningkatkan hubungan
antara manusia dengan manusia melalui pembahagian daging-daging korban
terutama kepada golongan fakir dan miskin. Ini sebagai petunjuk bahawa
takwa yang bersifat personal dan vertikal (hubungan hamba dengan
Tuhannya) sering tidak terpisah dengan hubungan hamba itu dan
persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti korban harus didasarkan
kepada Allah. Melalui ibadah korban inilah terselit maknawi yang
mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan
di dunia dan akhirat.
Korban
disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan
memerlukan pengorbanan. Akan tetapi yang dikorban bukan manusia, bukan
pula nilai-nilai kemanusiaan tetapi binatang sebagai petanda bahawa
pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah
sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus, tamak,
ego, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Secara hurufiahnya,
kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat
kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia.
Berpandukan
daripada kisah Haabil dan Qaabil tentang korban yang diterima oleh
Allah, jelas menunjukkan bahawa keikhlasan itu adalah satu sifat yang
paling utama dalam ibadah. Amalan berkorban harus menggunakan haiwan
yang baik dan tinggi kualitinya, tidak cacat, cukup umur serta banyak
dagingnya. Meskipun, hal-hal berkaitan ‘darah’ atau daging itu tidak
sampai kepada Allah, tetapi yang lebih penting adalah ketakwaan kepada
Allah.
Korban itu tidak memberi erti sama sekali untuk Allah kerana Ia
adalah Allah, yang Maha Agung, yang tidak memerlukan. Dengan korban
tersebut diharapkan agar takwa kita kepada Allah semakin meningkat dan
bahawa kita adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan bimbingan-Nya.
Oleh hal yang demikian, kunci kepada semua amalan baik amalan sosial
mahupun yang bersifat individual ialah takwa.
Bila
pengorbanan binatang ternak sebagai ritual keagamaan dilakukan pada
hari-hari tertentu pada bulan korban, maka segala bentuk pengorbanan
yang dilakukan oleh umat Islam pada hari-hari yang lain juga dapat
disebut pengorbanan bila disertai oleh sikap takwa kepada Allah. Sikap
itulah yang akan membezakan dari pengorbanan lain yang dilakukan demi
kekasih, demi keluarga dan bangsa yang belum tentu diredai oleh Allah.
Umat Islam akan menyambut Hari Raya Korban dalam beberapa hari lagi. Bagi kaum Muslimin yang berkuasa menyembelih korban hendaklah melaksanakan tanpa ragu-ragu sebagai usaha untuk bertaqqarrub atau memerdekakan diri kepada Allah. Berdasarkan keterangan hadis dan firman Allah yang diungkapkan dalam al-Quran, dapat disimpulkan bahawa amalan korban berasal daripada Nabi Ibrahim yang kemudiannya diwarisi oleh baginda sebagai satu ibadah dalam syariat Islam yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan.
Ibadah korban ini berasal dari
zaman Nabi Ibrahim. Tatkala Nabi Ibrahim bersama puteranya Ismail
selesai membina Kaabah di Mekah di atas arahan Allah sebagai pusat
kegiatan bagi menegakkan dasar-dasar tauhid, Allah menguji kekuatan iman
kedua-dua nabi ini. Pengorbanan itu adalah pengorbanan yang paling
tinggi dalam hidup iaitu pengorbanan jiwa dan raga.
Oleh Mohd Shauki Abd Majid
Pengurus Penyelidikan YADIM.
tq share , selamt hari raya aidiladha ye
BalasPadamtq for sharing dear..
BalasPadaminsyallah, lya pon ambik bhagian korban raya ke2 kat ofis..
salam aidiladha